Saturday, April 30, 2011

Perbezaan Yakin & Percaya


Suatu hari, di suatu tempat yang tidak bernama, berlangsunglah satu pertunjukan kemahiran. Tetapi pertunjukan ini amat luar biasa dan menakjubkan sekali. Seorang penembak akan menunjukkan kemahirannya menembak sebiji epal di atas kepala sebuah patung. Selepas membedek beberapa ketika, dia menarik picu pistolnya dan tembakannya tepat mengenai epal tersebut.
Kemudian dia bertanya, "Apakah tuan-tuan percaya saya seorang penembak yang cekap?"
Semua orang menjawab, "Ya, kami percaya."
Kemudian dia menutup matanya dengan kain hitam. Untuk memastikan dia benar-benar tidak boleh melihat, kapas diletakkan di atas kelopak matanya terlebih dahulu sebelum diikat dengan kain hitam tersebut. Seperti tadi, sebiji epal diletakkan di atas kepala sebuah patung. Kemudian dia membedek lalu menarik picu pistolnya. Tepat mengenai sasarannya!
Semua yang hadir bertepuk tangan dan memuji-muji kehebatan penembak ini. Dalam pada itu si penembak tadi pun bertanya, "Apakah tuan-tuan percaya saya seorang penembak yang cekap?"
Semua orang menjawab, "Ya, kami percaya." Sudah ada yang melontarkan duit ke dalam topi yang memang telah disediakan.
"Baik, sekarang tuan-tuan semakin percaya dengan kebolehan saya, mahukah tuan-tuan jika saya tunjukkan lagi kehebatan saya untuk menambah kepercayaan tuan-tuan?"
Semua orang menjawab, "Mahu!"
"Jika begitu, saya akan meletakkan sebiji epal di atas kepala tuan-tuan. Saya akan menembak epal berkenaan tanpa mencederakan tuan-tuan. Saya jamin tuan-tuan tidak akan cedera. Siapakah yang sudi membantu saya menjayakan pertunjukan ini?"
Senyap. Tiada sesiapa menjawab.
"Tuan-tuan telah melihat kepakaran saya. Saya telah membuktikan kepada tuan-tuan saya boleh menembak dengan tepat walaupun dengan mata yang tertutup. Tuan-tuan juga telah mengatakan tuan-tuan percaya dengan kehebatan saya. Ada sesiapa yang sudi?" tanya penembak itu lagi.
Para penonton tersengih-sengih, tiada seorang pun yang berani tampil ke depan. Akhirnya pertunjukan itu dibatalkan dan tidak pernah sampai ke penyudahnya.
Mengapakah tiada seorang pun yang berani tampil ke hadapan, padahal mereka telah melihat sendiri kehebatan penembak berkenaan melakukan kerjanya? Jawapannya mereka percaya tetapi tidak yakin.
Apakah perbezaan antara percaya dengan yakin? Cuba kita sama-sama fikirkan dan kaitkan dengan kepercayaan dan keyakinan kita pada Sang Pencipta. Adakah kita hanya percaya tetapi tidak yakin, ataukah kita percaya dan yakin? Mari kita sama-sama selidiki diri di manakah kita.

1 comments:

Traveller said...

Jemput2lah singgah ke blog yg tak sberepa ni ye.klik pada adsense untuk dapatkan info lebih lanjut http://www.tourismopportunity.blogspot.com/

Post a Comment